Walaupun tempang kakinya, walaupun buta matanya...

0 comments


Suatu hari,usai saya menghadiri kelas untuk subjek Nahu Arab di Kuliah Adab, saya bergegas keluar dari bilik pengajian untuk ke kelas seterusnya di bangunan yang lain pula.
Dengan langkah yang boleh dikatakan pantas juga(sebab kat sini ramai jalan lambat) dalam cuaca yang boleh dikatakan panas,saya melangkah menuruni tangga dan terus menusuri bahu jalan untuk ke kelas yang lain.

Sedang asyik melangkah, tetiba kaki saya terhenti sejenak. Mata saya terpaku kepada dua orang kawan yang saya lihat agak rapat. Ya Allah, sebak rasa dada ini bila melihat keadaan mereka. Rasa besar sungguh nikmat kurniaan Tuhan pada diri ini,namun malangnya amat jarang disyukuri dan dihisabi.

Melihat hal mereka,saya rasa cukup tersentuh,kenapa ya?
Ya,mereka berdua bukan orang sempurna macam saya.
Seorang kawan yang tempang kakinya dengan sebatang tongkat yang membantu untuk melangkah sedang menolak kerusi roda kawannya yang tidak dapat melihat. Bersama-sama menusuri jalan menuju matlamat yang sama macam saya. Mencari ilmu.Namun melihat senyuman yang terukir diwajah mereka berdua cukup menyentuh hati dan membuatkan diri ini berfikir. " Alangkah hebatnya mereka, disebalik kekurangan terserlah kelebihan" Diriku yang sempurna ini pun mungkin tak segigih mereka.

Saya meneruskan langkah sambil hati ini merenung, hebat sungguh kuasaMU Ya Allah.
Lihatlah,walaupun kakinya tempang namun semangat juang untuk menuntut ilmu seperti orang lain tidak pernah tempang.
Fikirlah,walaupun matanya buta tidak dapat melihat keindahan dunia ini, tapi hatinya cukup cerah untuk menyusuri liku-liku jalan sebagai penuntut ilmu.

Kekurangan bukanlah satu kelemahan. Kekurangan bukanlah alasan tuntas untuk kemunduran.
Kecacatan fizikal bukan bererti cacat semangat juang. Bahkan berapa ramai yang sempurna fizikalnya, tapi malangnya cacat semangatnya, tempang halatujunya dan buta mata hatinya. Berapa ramai yang serba kekurangan namun dapat menempa kejayaan.

Sama-sama kita renung sedalam-dalamny

a menerobos hati kecil kita.Terus bertanya dan bertanya.
Sedarkah kita dengan kelebihan yang diberi?
Adakah kita mengarahkannya seperti yang dipinta?
Berapa kali kalimat syukur kita ucapkan dengan nikmat yang dikurnia?
Banyak yang tidur dalam sedar, semoga kita diberi kekuatan.

Ingatlah wahai diri, kelemahan yang sebenar itu bukanlah kekurangan atau kecacatan anggota badan, tapi kelemahan yang sebenar adalah lemah dalam menentukan kehendak impian.


Read On

Kunci-kunci Hati

0 comments

Allah taala berfirman di dalam AlQur'an :
أفلا يتدبرون القرآن أم على قلوبهم أقفالها
(surah Muhammad:24)
Maksudnya: Maka apakah mereka tidak menghayati AlQur'an ataukah hati-hati mereka telah terkunci ?

Ibnu 'Athiyyah di dalam tafsirnya Almuharrir Alwajeez menyebut tentang ayat ini :
" Sesunggunhya sebuah rombongan daripada Yaman telah datang kepada Nabi sallallahu alaihi wasallam dan dikalangan mereka ada seorang pemuda, lalu Baginda sallallahu alaihi wasallam membaca ayat ini, lalu pemuda tadi berkata : Atasnya kunci-kunci sehinggalah Allah taala membukanya dan melepaskannya. Sayyidina Umar berkata,pemuda ini sungguh hebat dipandanganku! Kata-kata ini sentiasa di dalam diri Umar sehinggalah beliau diangkat menjadi Khalifah lalu meminta bantuan dengan pemuda tersebut". (ketika pembukaan wilayah era Khalifah Umar)

Imam Ibnu Qayyim menyebut di dalam tafsirnya sepertimana yang disebut oleh Muqaatil : "Seolah-olah hati itu sebuah pintu yang tertutup rapat yang telah dikunci, maka jika ia tidak dibuka kuncinya tidak akan dapat dibuka pintunya, dan juga tidak dapat mencapai apa yang terdapat disebalik pintu tersebut. Demikianlah umpamanya hati yang tidak ditanggalkan penyelak dan kuncinya maka tidak akan dapat masuk ke dalamnya cahaya iman dan Qur'an."

Alangkah malangnya bagi mereka yang mengunci hati sendiri,sekalipun mendengar AlQur'an dan peringatan, berjumpa dengan orang-orang soleh, namun perkara tersebut tidak dapat mengubah keadaan mereka.Kenapa? Kerana adanya kunci-kunci hijab yang menghalang dan melitupi hati-hati mereka.

Maka setiap kali datangnya peringatan dan ayat-ayat Allah yang ingin memasuki hati-hati mereka, ia terhalang oleh kunci-kunci tersebut.Aduhai, umpama mencurah air ke dalam gelas tertutup.

Oleh itu,sesiapa yang tidak bersungguh keinginannya untuk memecahkan kunci-kunci tersebut dengan taubat nasuha, maka tinggallah kunci-kunci itu bersama hatinya sehinggalah dia meninggalkan dunia ini.

Ketahuilah bahawa kunci-kunci hati itu banyak dan pelbagai antaranya :
  • cinta dunia dan melebih-lebihkannya
  • lupa mati
  • meninggalkan AlQur'an
  • kurangnya zikir(mengingat Allah)
  • lemah dalam memuhasabah diri
  • meninggalkan sedeqah
  • tidak mengamalkan ilmu
  • banyak bergaul dalam perkara sia-sia
  • menghabiskan waktu pada perkara sia-sia
  • tidak menunaikan kewajiban
  • melakukan kezaliman
  • tidak suka berbuat perkara sunat
Dan juga segala perbuatan maksiat yang boleh menyebabkan hati-hati terkunci daripada nur iman. Begitulah banyaknya kunci-kunci yang pelbagai bentuk dan jenis, namun semuanya membawa kepada tujuan yang sama iaitu menghalang hati-hati ini daripada menghayati kalam Allah dan kita tidak akan dapat memecahkannya melainkan dengan kembali kepada Yang Maha Satu,bersungguh-sungguh dan teguh pada ketaatanNYa serta tidak kembali kepada dosa dan maksiat selepasnya.

Semoga kita semua sentiasa diberi taufiq dan hidayah daripada Allah dalam menusuri pengembaraan sementara di muka buminya ini...Amien Ya Rabb.
Read On

Jom Pakat Cuba...!!

0 comments


Klik Sini Untuk Maklumat Lanjut Berkenaan Program
Read On

Mati Syahid kerana Hijab

0 comments


Tidak banyak liputan TV tentang Marwa Al-Sharbini, seorang ibu yang punya seorang anak, sedang mengandung tiga bulan, mati akibat ditikam 18 kali oleh seorang pemuda Jerman keturunan Rusia yang anti-Islam dan anti-Muslim.

Tidak ramai pula di kalangan orang Islam sendiri sedar tentang tragedi kejam ini. Yang mereka lebih tahu ialah kematian Raja Pop. Itupun kerana media, terutama TV melampau-lampau liputannya. Berhari-hari, bahkan berminggu masih belum reda isunya.


Ribuan penduduk Mesir menghantar jenazah Marwa ke tempat pengkebumiannya. Beliau tidak sepopular artis tersohor, MJ, tetapi pastinya beliau tersohor di kalangan penduduk langit kerana mempertahankan harga diri, maruah dan agamanya melalui tudungnya, yang dengannya ia syahid.

Marwa ditikam di ruang mahkamah kota Dresden, Jerman sebelum memberikan keterangan atas kesnya. Ia mengadu tentang seorang pemuda Jerman bernama Alex W yang kerap menyebutnya “teroris” hanya disebabkan beliau berjilbab. Dalam suatu kesempatan, pemuda itu bahkan pernah menyerang Marwa dan berusaha melepas jilbab Muslimah berasal dari Mesir itu. Di saat berada di mahkamah itulah, Alex kembali menyerang Marwa, kali ini ia menikam Marwa berkali-kali. Suami Marwa yang berusaha melindungi isterinya, terkena tembakan pihak berkuasa yang berdalih tidak sengaja menembak suami Marwa yang kini dalam keadaan kritikal di hospital di Dresden .
Dalam sejarah Islam, seorang wanita Islam cuba dicabul kehormatan dan maruah dirinya oleh seorang Yahudi. Lantas pemuda Islam tangkas membantu hingga menyebabkan pergaduhan antara Yahudi dan orang Islam. Di zaman Khalifah Mu’tasim, seorang wanita meminta tolong dengan berkata: ‘Waa Mu’tasimah!’. Mu’tasim yang berada begitu jauh darinya, apabila mendapat berita tersebut terus menghantar bantuan untuknya.

Hari Jilbab Antarabangsa

Umat Islam kini, apa yang dibuatnya? Media dunia umat Islam sendiri hanya pentingkan berita pengkebumian Michael Jackson sendiri. Tiada liputan besar-besaran untuk Marwa, melainkan media Islam khususnya di internet.
Untuk mengingati peristiwa ini, Hari Jilbab Antarabangsa dicadangkan bagi mengenang Marwa as-Sharbini. Usul itu dilontarkan oleh Ketua Perhimpunan Mempertahankan Hijab, Abeer Pharaon melalui Islamonline. Abeer mengatakan, Marwa Al-Sharbini adalah seorang syahid bagi perjuangan muslimah yang mempertahankan jilbabnya. “Ia menjadi korban Islamofobia, yang masih dialami ramai orang Islam di Eropah. Kematian Marwa layak untuk diperingati dan dijadikan sebagai Hari Hijab Sedunia,” kata Abeer.
Seruan Abeer disambut oleh beberapa orang tokoh Muslim, di antaranya Rawa Al-Abed dari Persekutuan Persatuan Islam di Eropah. “Kami mendukung cadangan ini. Kami juga menyeru agar diwar-warkan kempen seperti ini untuk meningkatkan kesedaran tentang hak-hak muslimah di Eropah, termasuk hak mengenakan jilbab,” kata Al-Abed.
Profesor bidang teologi dan falsafah dari Universiti Al-Azhar, Amina Nusser juga memberikan dokongannya atas cadangan Hari Jilbab Antarabangsa yang boleh dijadikan momentum untuk memberi tindakbalas sikap anti-jilbab di Barat. “Hari peringatan itu akan menjadi kesempatan bagi kita untuk mengingatkan Barat agar bersikap adil terhadap para muslimah dan kesempatan untuk menunjukkan pada Barat bahawa Islam menghormati hak beragama,” tegas Nusser.
Nusser menegaskan bahawa hak seorang muslimah untuk berpakaian sesuai dengan ajaran agamanya, tidak berbeza dengan hak penganut agama lain. Ia mengingatkan, kaum perempuan penganut Kristian Ortodoks juga mengenakan tudung sebelum masuk ke gereja.
Sokongan untuk mengadakan Hari Jilbab Antarabangsa itu juga datang dari Persatuan Muslim Denmark. Ketuanya, Mohammed Al-Bazzawi. “Hari Jilbab untuk mengingatkan masyarakat Barat bahawa hak muslimah untuk mengenakan jilbab sama dengan hak perempuan non-Muslim yang boleh mengenakan busana apa saja. Mereka di Barat yang berbicara soal hak perempuan, selayaknya menyedari bahawa mereka juga tidak boleh mengabaikan hak seorang perempuan untuk mengenakan jilbab,” ujarnya.
Gerakan Islam di rantau Asia juga wajar mengambil inisiatif menganjurkan Hari Jilbab Antarabangsa tersebut sebagai tanda solidariti umat Islam. Dewan Muslimat PAS dan NGO berkaitan boleh mengambil peranan ini.

Akhbar Jerman perleceh Marwa as Sharbini

Surat khabar Jerman, Die Welt versi online memuatkan komentar-komentar pembacanya yang berisi penghinaan dan pernyataan anti-Arab dan anti-Muslim.
Komentar-komentar itu adalah reaksi pembaca atas artikel berjudul “Islamisten fordern Vergeltung für Mord im Gericht” yang diterbitkan berkaitan kes Marwa Al-Sharbini itu.
Salah satu pemberi komen misalnya, menyarankan agar pelaku pembunuhan Marwa diberi tanda jasa “Federal Cross of Merit”. Pemberi komen lainnya menyebut Marwa “toilet” dan masih banyak lagi komentar-komentar lainnya yang isinya jelas membela pembunuh Marwa dan melecehkan Marwa.
Pihak Die Welt pula anehnya, enggan menolak untuk menghapuskan komentar-komentar yang provokatif itu, seiring dengan sikap media massa Jerman lain untuk tidak menulis berita tentang insiden yang menimpa Marwa. Media Jerman menganggap kes pembunuhan Marwa yang berlatar belakang islamofobia itu bukan kes yang serius. Sikap media Jerman mungkin akan berbeza jika yang dibunuh adalah seorang non-Muslim Jerman dan pelakunya seorang Muslim.
Sementara itu, atas sikap akhbar Die Welt online, website Ikhwanul Muslimin menyeru kaum Muslimin untuk menyampaikan email protes kepada akhbar tersebut agar menghapuskan komentar-komentar yang rasis dan anti-Muslim, melalui alamat email: online@welt. de

dari: www.niknasri. com
(disunting dari pelbagai sumber)
Read On

Untuk direnung, cuba difikir...

0 comments


* Bermusafirlah dengan bekalan yang selayaknya, agar menyenangkan bukan membinasakan.

* Dunia kembara, penuh dengan sang musafir yang mengikut rentak dunia tanpa menghiraukan bekalan.

* Musafir yang kerdil mendambakan KEBESARAN tuhannya, musafir yang miskin mengharapkan KEKAYAAN RAHMAT tuhannya. Sedangkan musafir yang hina sentiasa terpana dengan KEMISKINAN DUNIA dan KEKERDILAN HARTA manusia.

* Bermusafirlah ke arah dunia kehambaan, bukan ke arah dunia kesyaitanan dan kedurjanaan.

* Musafir yang berhemat sentiasa menghitung bekalan untuk mencapai perhentian yang abadi.

Hidup ini sebuah kembara. Pengembaraan hamba yang bermusim. Kekadang imannya berjaya menewaskan hawa nafsu, kekadang hawa nafsu menghalang keharmonian iman. Namun seorang yang insan berjiwa hamba takkan mudah tunduk menjadi hamba kepada hawa nafsunya. Biarpun selalu jatuh tergadah dengan nafsu, jangan mudah mengalah. Bangkitlah lawanlah teruskan perjuangan dan pengembaraan untuk mencapai darjat hamba tuhan. Ingatlah, musim kembara itu ada pelbagai,cuma yang pentingnya bagaimana kita sang musafir menyesuaikan diri dengan musimnya dengan teras yang kukuh dan luhur agar penyakit setiap musim itu tidak mudah mendekati kita atau merebakkan segala virus durjana yang akan melumpuhkan semangat kembara menuju jalan Allah...
Ayuh, teruskan kembara bersama wahai sang hamba...!!!
Read On