Kunci-kunci Hati

Allah taala berfirman di dalam AlQur'an :
أفلا يتدبرون القرآن أم على قلوبهم أقفالها
(surah Muhammad:24)
Maksudnya: Maka apakah mereka tidak menghayati AlQur'an ataukah hati-hati mereka telah terkunci ?

Ibnu 'Athiyyah di dalam tafsirnya Almuharrir Alwajeez menyebut tentang ayat ini :
" Sesunggunhya sebuah rombongan daripada Yaman telah datang kepada Nabi sallallahu alaihi wasallam dan dikalangan mereka ada seorang pemuda, lalu Baginda sallallahu alaihi wasallam membaca ayat ini, lalu pemuda tadi berkata : Atasnya kunci-kunci sehinggalah Allah taala membukanya dan melepaskannya. Sayyidina Umar berkata,pemuda ini sungguh hebat dipandanganku! Kata-kata ini sentiasa di dalam diri Umar sehinggalah beliau diangkat menjadi Khalifah lalu meminta bantuan dengan pemuda tersebut". (ketika pembukaan wilayah era Khalifah Umar)

Imam Ibnu Qayyim menyebut di dalam tafsirnya sepertimana yang disebut oleh Muqaatil : "Seolah-olah hati itu sebuah pintu yang tertutup rapat yang telah dikunci, maka jika ia tidak dibuka kuncinya tidak akan dapat dibuka pintunya, dan juga tidak dapat mencapai apa yang terdapat disebalik pintu tersebut. Demikianlah umpamanya hati yang tidak ditanggalkan penyelak dan kuncinya maka tidak akan dapat masuk ke dalamnya cahaya iman dan Qur'an."

Alangkah malangnya bagi mereka yang mengunci hati sendiri,sekalipun mendengar AlQur'an dan peringatan, berjumpa dengan orang-orang soleh, namun perkara tersebut tidak dapat mengubah keadaan mereka.Kenapa? Kerana adanya kunci-kunci hijab yang menghalang dan melitupi hati-hati mereka.

Maka setiap kali datangnya peringatan dan ayat-ayat Allah yang ingin memasuki hati-hati mereka, ia terhalang oleh kunci-kunci tersebut.Aduhai, umpama mencurah air ke dalam gelas tertutup.

Oleh itu,sesiapa yang tidak bersungguh keinginannya untuk memecahkan kunci-kunci tersebut dengan taubat nasuha, maka tinggallah kunci-kunci itu bersama hatinya sehinggalah dia meninggalkan dunia ini.

Ketahuilah bahawa kunci-kunci hati itu banyak dan pelbagai antaranya :
  • cinta dunia dan melebih-lebihkannya
  • lupa mati
  • meninggalkan AlQur'an
  • kurangnya zikir(mengingat Allah)
  • lemah dalam memuhasabah diri
  • meninggalkan sedeqah
  • tidak mengamalkan ilmu
  • banyak bergaul dalam perkara sia-sia
  • menghabiskan waktu pada perkara sia-sia
  • tidak menunaikan kewajiban
  • melakukan kezaliman
  • tidak suka berbuat perkara sunat
Dan juga segala perbuatan maksiat yang boleh menyebabkan hati-hati terkunci daripada nur iman. Begitulah banyaknya kunci-kunci yang pelbagai bentuk dan jenis, namun semuanya membawa kepada tujuan yang sama iaitu menghalang hati-hati ini daripada menghayati kalam Allah dan kita tidak akan dapat memecahkannya melainkan dengan kembali kepada Yang Maha Satu,bersungguh-sungguh dan teguh pada ketaatanNYa serta tidak kembali kepada dosa dan maksiat selepasnya.

Semoga kita semua sentiasa diberi taufiq dan hidayah daripada Allah dalam menusuri pengembaraan sementara di muka buminya ini...Amien Ya Rabb.

0 comments:

Post a Comment